Posted on Leave a comment

ISTERI BOLEH HILANG HORMAT PADA SUAMI YANG SEPERTI INI

Isteri boleh hilang hormat pada suami

Banyak perkara mula berlaku apabila seorang wanita hilang rasa hormat terhadap suaminya. Apabila rasa hormat hilang dalam perkahwinan, kedua-dua pihak mula mengalami jurang komunikasi. Kemudian, apabila seorang wanita hilang rasa hormat terhadap suaminya, untuk mengekalkan hubungan perkahwinan menjadi lebih sukar daripada sebelumnya. Apabila seorang isteri tidak menghormati suaminya, dia akan mula melihat perubahan dalam sikap dan cara dia berhubung dengan suaminya. Kehilangan rasa hormat dalam perhubungan tidak sepatutnya dibiarkan jika ada harapan hubungan itu dapat diselamatkan dengan segera. Punca-punca isteri boleh hilang hormat pada suami adalah seperti berikut.

Tidak Menunaikan Solat

Suami selaku ketua keluarga adalah contoh paling utama untuk isteri dan anak. Bimbingan suami paling penting dalam sesebuah keluarga. Jika ketua keluarga pun sudah ketepikan tuntutan agama, macam mana hendak membimbing dan membentuk keluarga bahagia yang diredhai Allah swt. Jadi isteri tidak nampak peranan suami dalam membimbing dan mula tawar hati.

Melakukan Maksiat

Kita selalu fikirkan yang maksiat ini kebiasaannya berkaitan dengan perlakuan zina dengan bukan pasangan yang dikahwini. Akan tetapi ramai yang tidak tahu, walaupun tidak berzina, suami yang suka menonton bahan lucah dan beronani (melancap) adalah salah satu maksiat juga. Lama-lama isteri boleh hilang hormat kerana kehadirannya seakan tidak dihargai, masih lagi ingin bermaksiat walaupun sudah beristeri.

Panas Baran Dan Selalu Maki Hamun

Suka ataupun tidak, sebenarnya saat mengharungi rumah tangga ini ramai isteri telah makan hati dan memendam rasa. Ada yang merana kerana sikap suami, lebih-lebih lagi yang suka memaki hamun tidak kira di depan orang atau di depan anak-anak sendiri. Seorang suami hendaklah sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada keluarganya di samping menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka. Tidak sepatutnya suami menzahirkan ucapan caci-maki kepada isteri sedemikian rupa sekalipun ketika marah.

Kaki Pukul & Kaki Judi

Wanita bukan tempat untuk dipukul mahupun dicerca. Lelaki sepatutnya melindungi wanita, bukannya melepaskan geram dan melampiaskan amarah seperti patung. Sikap buruk suami yang cepat panas baran, kaki pukul dan kuat berjudi menjadi punca isteri hilang rasa hormat pada suami. Malah, sebahagian wanita juga enggan menyerahkan anak untuk dijaga oleh suami yang berperangai buruk kerana bimbangkan keselamatan anak-anak. 

Mengambil Benda Terlarang

Stress atau tekanan akibat bebanan kerja serta tekanan hidup akibat masalah kewangan dan masalah rumah tangga mendorong segelintir suami mengambil dadah. Sehinggakan isteri akan hilang rasa hormat kerana kebiasaannya mereka susah hendak berubah dan mengabaikan tanggung jawab dalam rumah tangga. Sebab itulah ada yang dibuang keluarga kerana sering ‘keluar masuk’ pusat pemulihan dan menghadapi kesukaran untuk mendapat kerja disebabkan status sebagai bekas penagih dan penjenayah.

Curang (Kaki Betina)

Wanita yang malang adalah wanita yang tersalah memilih suami.. Seorang pakar motivasi pernah berkongsi kata-kata itu yang mampu membuatkan perempuan yang di uji dengan suami yang berperangai curang ini akan rasa ‘down’ & rasa diri dia terlalu malang. Sebab itulah isteri mudah hilang rasa hormat. Lebih-lebih lagi apabila suami tidak pernah berubah biarpun telah ‘kantoi’ banyak kali.

Mulut Puaka, Mulut Jahat, Mulut Longkang, Mulut Murai Mengalahkan Makcik Bawang

Salah satu cara menjaga interaksi dengan manusia ialah memelihara mulut atau lisan. Hakikatnya, mulut boleh menjadi punca kita ke neraka jika tidak berhati-hati mengawalnya. Wasiat Imam Ghazali, lapan dosa berpunca daripada mulut iaitu mungkir janji, dusta, mengumpat, menghina, melaknat, memuji diri sendiri, banyak berbicara atau bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk. Asbab mulut jugalah isteri hilang sabar dan hilang rasa hormat, rasa diri seperti tidak berguna saja.

Memberi Tekanan Mental Pada Pasangan

Melihat senario yang kerap berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri kini, segelintir wanita mudah tertekan dengan masalah rumah tangga. Mereka mengaitkan beban kerja, tanggungjawab, komitmen dan kesukaran menguruskan keperluan keluarga sendirian sebagai punca tekanan. Hal itu dipercayai berlaku disebabkan jangkaan tinggi wanita terhadap pasangan masing-masing. Boleh jadi, mereka sentiasa berharap suami ada untuk membantu meringankan beban, tetapi akhirnya tiada yang menolong. Bila dah tertekan, mulalah hilang rasa hormat.

Kedekut Tahi Hidung Masin/Buruk Siku

Kegagalan suami memberi nafkah belanja harian kepada isteri selama berkahwin menjadi punca utama ramai dalam kalangan wanita menghidap kemurungan yang melampau sehingga mengambil keputusan mengorbankan rumah tangga yang dibina. Jika mampu bertahan pun, sudah tidak boleh hendak hormat macam dulu lagi.

Berat Sebelah Dalam Memberi Layanan Terhadap Keluarga Isteri

Kadang-kadang suami tidak sedar keutamaan mereka telah berubah selepas berkahwin dan membina rumah tangga. Selepas berkahwin, peranan suami sebagai pemimpin kepada isteri dan anak-anak tetap perlu diutamakan. Namun, bila suami berat sebelah dan asyik mengutamakan keluarga sendiri berbanding keluarga isteri, Itu yang menyebabkan isteri akan hilang rasa hormat.

Tidak Menunaikan Nafkah Dan Tanggungjawab (Nafkah Batin Dan Sebagainya)

Isunya si isteri yang menanggung suami dan keluarga. Hal ini biasanya akan menyebabkan semakin pudar kasih sayang mereka kerana diperlakukan sebegitu rupa. Rasa cinta pula semakin hilang, malah diganti dengan rasa benci. Ini ditambah pula bila pengorbanan mereka tidak dihargai, malah diganti pula dengan kata-kata kesat dan kelakuan yang menyakitkan hati. Terdapat juga kes-kes di mana, sang suami sudahlah tidak memberi nafkah, ada hati pula hendak berkahwin satu lagi! Lama-lama isteri yang menanggung boleh jadi sakit jiwa.

Tidak Menghargai Penat Lelah Isteri

Untuk membina keluarga dan rumahtangga yang bahagia, suami dan isteri harus bersama-sama bekerja keras untuk saling melengkapi antara pasangan. Bukan itu sahaja, suami isteri juga harus menunjukkan penghargaan terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh pasangan masing-masing. Sebaliknya, ada juga suami yang tidak pandai untuk menghargai penat lelah isteri.

Selalu Mengulangi Kesilapan Yang Sama Berulangkali Sampai Abg Jamil ‘Kojol

Melakukan kesalahan sama berulang-ulang, kerap kali dilakukan suami tanpa rasa bersalah sehingga isteri menjadi letih menghadapi. Isteri asyik kena ingatkan perkara yang sama sampai sudah naik jemu.

Membiarkan Isteri Menguruskan Serba Serbi Dgn Sendiri

Dalam perkahwinan, kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri mempunyai tanggung jawab masing-masing terhadap pasangan mereka dan rumah tangga. Antara tanggungjawab yang sering menjadi pertikaian suami isteri adalah siapa yang bertanggungjawab melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah dan mengasuh anak-anak. Menyemak dalam mana-mana buku mengenai perkahwinan dan hak suami isteri, menguruskan rumah tangga tidak termasuk pun dalam senarai tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh isteri.

Tak Pernah Minta Maaf Dan Akui Kesalahan

Dalam hubungan perkahwinan, terlibat dalam perselisihan adalah lumrah. Tetapi bagaimana jika suami tidak pernah meminta maaf? Sehebat mana pun pergaduhan, kata maaf tidak pernah keluar dari mulut suami. Sama ada suami salah atau tidak, dia tidak akan meminta maaf. Sudah tentu ini membuatkan isteri bingung dan juga tertanya-tanya.

Ego Tinggi Mengalahkan Gunung Kinabalu

Lelaki yang ego tinggi mungkin akan membuat sesuatu yang kurang disukai sekadar hendak menunjukkan ‘kuasa’. Dalam sesebuah hubungan, kadangkala kita hanya akan nampak ego lelaki ini bila kita sudah berkahwin dan duduk serumah. Ada juga yang mula berubah bila sudah ada anak.

Isteri hilang hormat pada suami yang ego tinggi

Bila hormat isteri sudah mula hilang pada diri suami, lama-kelamaan perasaan cinta dan sayang juga akan mulai pudar dan hilang. Ramai yang pandang perkara ini sebagai kesalahan isteri bila mana isteri itu tidak menghormati suami. Tapi dengan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, adakah beliau layak untuk dihormati? Ubah perangai jika masih ingin dihormati. Belajar menghormati isteri jika ingin dihormati.

Hormat tidak akan dapat dengan automatik kalau diri sendiri tidak menunjukkan contoh yg baik untuk dihormati.

Lelaki ada ego, perempuan pun ada ego. Kena tahu ego ini kegunaannya untuk apa. Yang lelaki kalau hendak dihormati isteri, maka jangan guna ego sebab ego lelaki kebanyakannya akan memakan diri sendiri. Akhlak, perangai, pertuturan, perbuatan, dan budi bahasa si lelaki itu yang menyebabkan isteri taat dan hormat suami.

Bukan kita kena EGO TINGGI, baru isteri hormat dan taat kepada kita.

Lama-kelamaan isteri akan menyampah, meluat, bosan bila kita asyik menggunakan EGO kita untuk memenangi apa saja perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran yang asalnya bermula akibat daripada kesilapan kita sendiri.

Percayalah, hubungan yang bahagia, hubungan yang harmoni, pasangan yang gembira adalah apabila kedua-dua suami dan isteri tolak ego ke tepi. Siapa salah, dia minta maaf. Siapa yang kena tegur dan kena nasihat, dialah yang kena berlapang dada dan terbuka dengan  teguran dan nasihat tersebut.

Kredit : Firdaus Shakirin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *