Panduan untuk mengatasi sikap marah. Perasaan marah merupakan salah satu sifat yang terdapat dalam jiwa setiap manusia. Ia merupakan emosi semula jadi yang bersifat negatif dan kebiasaannya bermula daripada sedikit keresahan sehingga menjadi semakin tidak terkawal.
Sumber: SOCAZ HQ
Kerana marah, seorang suami boleh menjatuhkan talak kepada isteri apabila berlakunya pergaduhan. Kerana marah juga, mungkin akan adanya sekeping hati insan yang terluka akibat kata-kata nista yang dihamburkan lidah ketika dalam keadaan marah.
Terdapat beberapa panduan yang boleh diamalkan untuk mengatasi sikap marah. Antara panduan untuk mengatasi sikap marah ialah:
1. Mengubah posisi duduk
Menukar posisi kedudukan apabila marah boleh meredakan kemarahan. Cara ini diterangkan dalam hadis Rasulullah SAW : “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim).
Kecenderungan orang marah adalah ingin selalu kelihatan lebih tinggi dan lebih tinggi. Dengan posisi yang lebih tinggi, dia akan meluapkan amarahnya kepada orang lain. Jika dibiarkan tentu sangat berbahaya. Kerana itulah, Rasulullah SAW menganjurkan agar marah ini diredam dengan mengambil posisi yang lebih rendah dan lebih rendah. Mengapa harus duduk atau tidur? Al-Khithabi dalam Ma’alim As-Sunan menjelaskan, orang yang berdiri sangat mudah untuk bergerak dan memukul. Orang yang duduk lebih sulit untuk bergerak dan memukul. Sementara orang yang tidur tidak mungkin akan memukul. Perintah Rasulullah SAW untuk duduk, agar orang yang sedang dalam posisi berdiri atau duduk tidak melakukan tindakan pelampiasan marahnya, yang cenderung akan menyebabkan dia menyesali perbuatannya selepas itu.
2. Ambil wudhu’
Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).
Hikmah wuduk itu sendiri dapat membersihkan kekotoran hati, menyejukkan hati, melahirkan ketenangan serta dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Hakikat sebenarnya jika kita gagal mengawal kemarahan diri bererti kita telah tewas dengan permainan syaitan yang dilaknat Allah.
3. Mendiamkan diri ketika marah
Cara mendiamkan diri mampu mengurangkan rasa marah. Hal ini kerana panas baran berlaku apabila berlakunya tindakan demi tindakan yang menyebabkan suasana tegang. Oleh itu, mendiamkan diri membolehkan kita mengurangkan dan mengatasi sikap dan rasa marah.
Lebih baik daripada berkata-kata ketika marah itu ada benarnya. Kita akan hilang rasional apabila minda dikuasai nafsu amarah. Bersabar dalam keadaan marah pula bukanlah sesuatu yang mudah, jadi ia memerlukan sesuatu untuk merasionalkan kembali pemikiran. Diam ketika marah dapat mengelakkan kita berkata sesuatu yang tidak sepatutnya.
Sabda Rasulullah: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, hendaknya berkata baik atau diam. – [HR Ibn Majah 3961].
4. Berfikiran positif
Elakkan daripada memekik atau bersuara lantang ketika marah kerana ia akan menyebabkan suasana menjadi tidak terkawal dan hati juga penuh emosi. Oleh itu berfikirlah secara positif dimana marah bukanlah cara penyelesaian. Adalah lebih baik jika kita merendahkan suara dan tidak menggunakan perkataan yang mungkin bakal menyinggung perasaan orang lain.
Sebelum memulakan bicara, lebih baik berfikir dahulu. Dalam kemarahan, seseorang boleh mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Jadi lebih baik berfikir sejenak kerana mungkin anda akan menyesal selepas mengeluarkan kata-kata dalam keadaan marah. Lebih baik lagi, ajaklah sekali mereka yang bersama anda dalam kemarahan untuk melakukan perkara yang sama.
5. Luahkan pada masa dan tempat yang sesuai
Carilah tempat untuk meluahkan masalah tanpa perlu merasa marah. Contohnya meluahkan masalah pada teman terdekat yang dipercayai. Setiap individu mempunyai cara meluahkan yang berbeza, namun pastikan ia positif dan membawa kebaikan kepada diri sendiri.
Meluahkan perasaan marah anda dengan secara wajar iaitu tegas, yakin dan terkawal adalah cara yang paling terbaik dan berkesan untuk mengatasi sikap marah. Untuk melakukannya, anda perlu tahu bagaimana cara untuk meluahkan apa yang anda rasa dengan sejelasnya, apa kehendak anda dan bagaimana untuk memenuhinya tanpa mencederakan orang lain. Bertindak tegas bukan bermaksud bersikap menolak atau terlalu menuntut. Ia sebaliknya bermaksud menghormati diri anda sendiri dan orang lain.
6. Bawa bertenang
Ketenangan membuat minda anda bertindak cemerlang. Ketenangan juga baik untuk mengekalkan motivasi serta mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Dalam perhubungan sesama manusia, ketenangan membuat anda disenangi orang. Dalam perhubungan antara anda dengan Tuhan, pasti anda dirahmati oleh-NYA. Jiwa yang tenang adalah jiwa yang dekat dengan alam kemudian akan jadi dekat dengan pencipta alam, iaitu Allah SWT Tuhan Sekalian Alam.
Tarik nafas juga adalah salah satu cara untuk bertenang serta mampu megurangkan dan mengatasi sikap dan rasa marah. Ia akan membolehkan kita mengawal emosi ketika marah. Sebaik sahaja emosi sudah stabil dan boleh berfikir dengan waras, nyatakan kekecewaan atau kemarahan anda dengan tegas tetapi bukan dengan konfrontasi. Ini lebih baik dengan menyatakan kebimbangan dan keperluan anda dengan jelas dan secara langsung, tanpa menyakitkan orang lain atau cuba untuk mengawal mereka.
7. Senyum
Senyuman mampu mengurangkan dan mengatasi sikap dan rasa marah. Walaupun senyum nampak mudah namun senyuman tidak mudah diukir di wajah orang yang berada dalam keadaan marah. Namun percayalah, dengan senyuman perasaan marah kita akan menjadi reda. Cubalah untuk senyum walaupun sedang marah.
Banyakkan senyum menjadikan diri lebih positif serta ceria. Senyum juga menggambarkan personaliti, kegembiraan dan keyakinan individu. Yang nyata, senyum bukan sahaja dapat menceriakan individu itu sendiri, malah ia seperti satu isyarat positif yang dapat menceriakan suasana.
Bagi mengelakkan tekanan di dalam diri anda dan orang lain, sifat marah bukanlah jalan penyelesaian masalah, sebaliknya anda sendiri akan terperangkap dengan masalah yang berpanjangan seandainya ini berlaku terutamanya di dalam sesebuah rumah tangga. Dengan itu, undanglah suasana yang kondusif dengan senyuman yang sopan dan sikap yang ramah.
Tidak perlu hadirnya perasaan marah kerana sifat tersebut harus kena pada tempatnya. Jika tidak marah pun, tidak wajar andai kemarahan itu adalah untuk menegakkan yang hak. Semoga kita dapat mengalahkan tipu daya syaitan yang sentiasa ingin kita bersamanya di dalam neraka. Dan semoga kita semua dapat manangani dan mengatasi sifat marah ini. Jemput baca artikel lain Tak Sangka Rupanya Mem’bela’ dan Berubah Selepas Curang.