Posted on Leave a comment

TIPS KELUARGA BAHAGIA

Jika dibandingkan dengan setiap kesenangan anda perolehi di dunia ini, pastilah tiada yang lebih bernilai daripada keluarga bahagia. Mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata merupakan impian kebanyakan individu. Namun, tidak semua rumah tangga dan keluarga yang dibina bahagia. Kebahagiaan sesebuah keluarga bukanlah tercipta dengan sendirinya sebaliknya memerlukan usaha berterusan. Oleh itu, ketahui 8 tips keluarga bahagia berikut untuk panduan bersama demi membina keluarga bahagia.

Tips 8 P – Keluarga bahagia

Puji

1. Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan. Saat pasangan melakukan sesuatu yang menyenangkan dan membanggakan, pernahkah anda berterima kasih atau melemparkan pujian padanya? Cuba ingat semula bila kali terakhir anda memuji pasangan? Kerana memberi pujian dan menghargai usaha yang dilakukan pasangan amat penting dalam membina keluarga bahagia.

Anda pasti inginkan hubungan yang sentiasa harmoni, mampu melewati konflik dengan kestabilan emosi, saling berusaha mencari jalan keluar ketika berhadapan masalah, dan berbagai lagi. Salah satu caranya adalah dengan saling memuji dan menghargai.

Peluk

2. Pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang. Pelukan antara suami isteri bagi mengungkap perasaan cinta dan kasih sayang bukan saja membawa kelebihan buat kedua-duanya bahkan dikatakan antara petua keharmonian rumah tangga dan mengurangkan tekanan.

Banyak kajian yang dilakukan pakar sebelum ini menunjukkan manfaat memeluk menjangkau perasaan hangat yang anda dapati ketika memeluk pasangan. Pelukan adalah tanda luahan kasih sayang antara suami dan isteri. Ia memperbaiki hubungan yang retak dan menyuburkan kasih sayang antara suami dan isteri malah merupakan cara alternatif terbaik untuk melafazkan perasaan sayang kita pada pasangan tanpa kata-kata. Pelukan bukan setakat perkongsian emosi saja, malah lebih daripada itu. Pelukan boleh menunjukkan sokongan emosi ketika suami atau isteri sedang menerima ujian getir atau dugaan dalam perjalanan hidupnya.

Penghargaan

3. Amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang. Ikut kemampuan anda. Ada yang menjadikan amalan pemberian hadiah sebagai tradisi bagi melambangkan bahasa cinta. Maka ungkapan terima kasih, penghargaan, rasa hormat serta layanan istimewa akan lebih bermakna dengan pemberian hadiah. Tidak semestinya hadiah mahal, cukup sekadar pemberian kecil sebagai tanda cinta dan perhatian.

Beli coklat murah pun boleh. Sebut saja itu hadiah, jadilah dia hadiah. Tidak  perlu tunggu belikan rantai berlian baru nak rasa itu hadiah. Kita yang menerima hadiah pula, sekali pun cuma sebungkus nasi lemak yang pasangan kita sebut itu sebagai hadiah, maka hargailah. Saling menghargai itulah perasaan bahagia jika kita ingin membina keluarga bahagia.

Perhatian

4. Kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan. Perhatian adalah salah satu perkara utama yang membuat hubungan kekal intim. Kerana, apabila anda merasakan pasangan anda tidak memberikan perhatian yang baik, ia boleh membuat anda berasa kecewa, keliru, dan sedih. Sudah tentu, ini memberi kesan negatif kepada hubungan anda. Kebanyakan orang mendambakan perhatian daripada pasangan masing-masing.

Ringkasnya, jika kita mencintai seseorang, kita akan mencari cara untuk menunjukkan betapa pentingnya pasangan kita kepada kita, dan salah satu cara paling mudah adalah dengan memberi perhatian kepada mereka. Jika pasangan tidak mendapat perhatian yang mencukupi, ia boleh menyebabkan reaksi yang membawa kepada konflik yang lebih besar dalam hubungan. Kurangnya perhatian dalam perhubungan sama dengan kekurangan komunikasi.

Persefahaman

5. Sebagai manusia yang berkerjaya memerlukan pasangan yang lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing. Bagi pasangan suami isteri, memahami pasangan merupakan satu elemen penting dalam hubungan suami isteri. Demi menjaga hubungan ini, pasangan sepatutnya bertolak ansur & memahami tugas & kerjaya masing-masing.

Seorang suami yang membenarkan isterinya bekerja di luar rumah, dan bertemu serta berkomunikasi dengan ramai orang, sepatutnya telah menyiapkan mental dan mindanya untuk berfikiran positif dengan keadaan yang ada di tempat kerja. Terhad untuk bekerja, tanpa ada unsur-unsur yang tersembunyi. Barulah wujud keluarga bahagia.

Pergaulan

6. Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri bergaul dengan orang sekeliling terutama dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah.

Namun, suami wajib menegah isteri dengan hubungan yang dilarang agama seperti bergaul dengan lelaki bukan mahram, berhubung tanpa keperluan, bergaul dengan wanita fasik, tidak menjaga agama, bertandang ke tempat maksiat atau mendorong kepada maksiat.

Percutian

7. Seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain. 

Percutian romantik bersama pasangan amat bermakna untuk memulihkan dan menyegarkan kembali ikatan kasih sayang yang semakin hambar setelah beberapa tahun menempuh cabaran dan asam garam dalam rumah tangga.

Permohonan

8. Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia. Ustazah Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau ke-200.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah. Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggung jawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong. “Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya. 

Baca artikel lain Tips Rumah Tangga Selalu Bahagia, Bercinta Dengan Suami Orang – Apa Akan Terjadi?, Tak Sangka Rupanya ‘Membela”, 5 Ciri-ciri Suami Berubah Sikap, Jangan Sesekali Takut Untuk Bercinta Lagi, dan Berubah Selepas Curang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *