Tips rumah tangga bahagia selalu kita dengar, samada di media cetak atau elektronik. Walaupun ramai pakar motivasi memberikan petua dan cara tersendiri, namun masih ramai lagi yang merasakan tidak bahagia. Kehidupan rumah tangga bukan semata-mata satu tuntutan atau sunnah Rasulullah S.A.W, malah ia adalah merupakan satu medan untuk kita belajar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat dari Allah.
Bila berbicara perihal rumah tangga, banyak cabang yang boleh dibincangkan. Bermulanya dengan isi rumah iaitu suami, isteri, anak-anak, ipar duai, persekitaran dan juga pelbagai bentuk cabaran dalam melayari rumah tangga sehingga hari ini. Ini adalah satu topik yang tak pernah ketinggalan di dalam kehidupan kita.
Masakan tidak, sehinggakan adanya satu kementerian yang khusus bagi institusi ini iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, yang khusus menjaga institusi kekeluargaan di dalam sesebuah rumah tangga. Begitulah signifikan pentingnya permulaan satu institusi kecil yang bermula dari sebuah perkahwinan yang merupakan satu ikatan suci menggabungkan dua hati.
Namun, kadangkala dua hati tersebut susah untuk bersetuju tentang sesuatu perkara. Pergaduhan berlaku dan mulalah operasi bermasam muka. Sebenarnya, anda boleh menjadikan rumah anda syurga di dunia jika anda mengamalkan beberapa tips rumah tangga bahagia seperti dikongsi dibawah. Antara tips-tipsnya adalah:
1. Luangkan masa yang berkualiti
Sering melakukan kegiatan bersama-sama seperti makan bersama, keluar berjalan berdua-duaan, beriadah dan mandi bersama. Ahli keluarga di dalam rumah tangga harus memperuntukkan masa berkualiti bersama. Ia akan melahirkan rasa disayangi, diperlukan antara satu sama lain dan dirindui selalu.
Antara masa yang paling berkualiti untuk seluruh ahli keluarga seperti solat berjemaah, makan bersama dan berkongsi waktu santai bersama-sama. Bagi pasangan, paling utama adalah masa untuk menzahirkan semula perasaan romantik anda.
2. Kerap bersentuhan
Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan. Bila bercakap tentang sentuhan fizikal, ia bukan sahaja melibatkan sentuhan sewaktu di kamar. Sebenarnya banyak lagi cara fizikal lain untuk menunjukkan kasih sayang kepada suami atau isteri kita.
Peluklah isteri atau suami setiap pagi sebelum pergi ke tempat kerja sekurang-kurangnya 10 saat. Berikan juga ciuman mesra secara harian. Ia tidak berhenti di situ saja. Salam tangan pasangan kita dan peluknya sekali lagi apabila kita pulang ke rumah. Sentuhan sebegini akan membuatkan mereka berasa amat disayangi. Kalau tak percaya, cubalah nanti ya!
3. Jangan lokek berikan pujian kepada pasangan
Isteri yang hangat dan romantis sentiasa mengharapkan suaminya berada dirumah bersama-samanya. Kadangkala, kita sangat cepat untuk mengkritik kesilapan pasangan kita tetapi lambat atau lebih teruk, langsung tidak memuji kebaikannya. Anda inginkan rumah tangga yang bahagia dan menyeronokkan?
Banyakkan berkata “Terima kasih sebab tolong buangkan sampah”, “Baiknya suami saya ini…dia belanja makan!”, atau “Bagusnya isteri saya tolong masakkan sarapan pagi ini. Sedap sangat. ”Anda akan perasan yang kata-kata pujian ini akan mendorong mereka untuk berbuat lebih banyak lagi perkara baik dalam perkahwinan anda.
4. Kepercayaan terhadap pasangan
Kreatif dalam mencipta suasana yang harmoni dan tenang dalam rumah tangga. Setiap pasangan perlu mempunyai kepercayaan antara satu sama lain tanpa ragu-ragu. Buangkan rasa ragu-ragu dan syak wasangka yang berlebihan, agar tak menghantui perasaan dan emosi yang boleh menganggu gugat keharmonian rumah tangga.
5. Elakkan pertelingkahan dan perbaiki komunikasi
Sekiranya ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis semasa bercinta dan berbulan madu. Jangan bertelingkah terutamanya di hadapan anak-anak, walaupun anak masih bayi dan belum memahami. Segala permasalahan dan pertelingkahan perlulah diselesaikan melalui perbincangan dari hati ke hati.
Elakkan masalah berlarutan dalam jangka masa yang lama tanpa sebarang penyelesaian, kerana memilih untuk berdendam dan menyimpan segalanya di dalam hati, adalah ibarat menyimpan satu ‘bom jangka’ yang kadangkala ianya adalah punca penceraian apabila ia meletup.
Berkomunikasilah dengan baik, elakkan menggunakan bahasa kesat yang boleh mengguris hati atau menjatuhkan air muka pasangan dan anak-anak. Apa yang perlu dititikberatkan, kekerasan di dalam rumah tangga bukanlah penyelesaian terhadap segala konflik yang berlaku, sebaliknya perlu dielakkan.
6. Jangan meninggi suara atau menjerit kepada pasangan
Kenangkan jasa dan susah payah isteri mengandung dan melahirkan anak. Jika perlu berbincang akibat berlakunya salah faham, pastikan ia dilakukan secara tenang dan rasional. Antara tips rumah tangga bahagia yang paling penting adalah jangan sesekali menjerit kepada pasangan anda.
Anda hanya dibenarkan untuk berbuat demikian jika rumah anda terbakar dan anda mahu dia menyelamatkan diri! Kata-kata yang diucap secara kasar, yang selalunya berlaku ketika kita menjerit, hanya akan melukakan lagi hati mereka. Walaupun kata maaf telah diberi dan diterima, akan ada satu masa yang mereka akan teringat semula kata-kata yang melukakan itu.
7. Selesaikan masalah sebelum masuk tidur
Sekiranya berlaku penceraian jangan mudah menghalau isteri keluar dari rumah sebelum habis edah kerana mungkin suami isteri berminat untuk bersatu kembali (rujuk). Sebelum masuk tidur, pastikan apa saja perkara yang mengganggu fikiran atau perasaan anda diluahkan terlebih dahulu kepada pasangan supaya dia tahu di mana salah dan silapnya.
Ini akan memupuk kemahiran komunikasi dan yang paling penting, menambah kefahaman antara satu sama lain. Tambahan lagi, menyimpan perasaan semata-mata untuk menjaga perasaan adalah tidak digalakkan untuk kesihatan.
8. Jangan mengungkit
Suami perlu lebih mesra dengan keluarga mentua kerana sekiranya rumah tangga menghadapi masalah, ibu bapa mentua boleh membantu dari segi nasihat. Jika kita ada tabiat suka mengungkit kisah atau perkara lama, mungkin telah tiba masanya untuk membuang tabiat buruk tersebut. Kata-kata seperti “hari itu pun awak buat lagi” atau “kalau awak tidak buat benda ini dulu..” tidak sepatutnya diucapkan.
Pergaduhan dan pertengkaran adalah lumrah dalam perkahwinan. Namun, jangan biarkan pergaduhan lama yang telah pun selesai memburukkan lagi keadaan pada masa sekarang. Fokus kepada masalah semasa dan kunci mulut anda daripada mengungkit kesalahan lama. Percayalah, ia antara tips penting untuk kebahagiaan dan akan membantu rumah tangga anda.
9.Berbulan Madu
Suami jangan terlalu memberi perhatian yang berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri. Usah skeptikal dengan percutian honeymoon atau bulan madu. Ia tidak semestinya dilakukan selepas pasangan sah diijab kabul sebagai suami isteri atau ketika inai masih merah dijari. Akan tetapi harus dijadikan acara wajib sempena sambutan ulang tahun perkahwinan untuk mengembalikan semula memori indah pengantin baru sekaligus kehangatan dalam rumah tangga.
Maklumlah bila sudah ada zuriat, tumpuan isteri terutamanya lebih fokus kepada anak-anak sehinggakan tanpa sedar telah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri. Ruang kosong yang ditinggalkan itulah yang membuatkan lelaki suka ‘makan luar’ sekaligus mendorong kewujudan orang ketiga mahupun kekasih gelap. Baca juga Rupanya Mem’BELA”.
10. Selalu ungkapkan kata-kata cinta dan kasih sayang
Sentiasa berlembut dari segi percakapan, layanan kepada pasangan dan pergaulan sesama ahli keluarga. Masih ingat tak zaman anda berkenalan dahulu? Anda saling mengucapkan kata-kata yang baik dan indah kepada satu sama lain. “Saya rindu awak” atau “saya tidak sabar untuk berjumpa awak” selalu disebut-sebut.
Untuk memastikan ikatan cinta masih utuh antara anda dan pasangan, pastikan anda terus memberi kata-kata cinta dan kasih sayang, walaupun anak sudah berderet! “Saya sayang awak”, “selamat pagi sayang” atau “semoga awak seronok di tempat kerja hari ini” sudah cukup untuk buat si dia tersenyum simpul sendirian dalam kereta sewaktu memandu ke pejabat!
11. Jadi pendamai ketika pasangan sedang emosi
Isteri perlu menjawab setiap pertanyaan suami dengan lembut. Bila pasangan sedang marah, anda pun nak melenting sama. Hal ini perlu dielakkan. Peraturan mudah, jika pasangan anda sedang marah atau tidak berpuas hati akan sesuatu, jangan turut sama melenting atau melakukan sebarang provokasi.
Anda harus menjadi ‘penyelamat dunia’. Anda mulakan bicara secara lembut kemudian mulakan perbincangan seterusnya memujuk. Kalau isteri kena peluk atau dapat bunga daripada suami, mesti senyumnya meleret sampai ke telinga, nak marah pun tak jadi!
12. Ujian sebagai tanda aras kasih sayang dalam rumah tangga
Sekiranya ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri. Ujian yang hadir di dalam kehidupan rumah tangga mengukur sejauh mana kemampuan pasangan mempertahankan kasih sayang, juga rasional dalam menghadapi segala cabaran bersama.
Ada pasangan, apabila diuji, kasih sayang mereka semakin kuat dengan bersama-sama susah dan senang mengharungi onak dan duri dalam membentuk rumah tangga bahagia.
13. Menghargai pasangan
Fahami dan hayati sifat pasangan dan anak-anak. Suami disifatkan seperti matahari yang sentiasa panas, isteri pula seperti bulan, cantik, lembut dan indah dipandang, manakala anak-anak pula umpama bintang iaitu sifatnya sebagai penghibur dalam rumah tangga.
Bertolak-ansur, saling memahami dan menghargai setiap individu di dalam rumah tangga suatu keperluan untuk rumah tangga yang bahagia. Kita haruslah bersedia menerima kekurangan pasangan, serta berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri.
14. Bertanggungjawab dan faham hak pasangan
Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya. Sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian. Faham akan tanggungjawab setiap individu di dalam rumah tangga, kewajipan sebagai suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak.
Apabila prioriti terhadap rumah tangga adalah yang teratas, maka tanggungjawab akan dilaksanakan dengan sebaiknya di dalam sesebuah keluarga yang dibina juga saling melengkapi antara satu sama lain.
15. Mendalami ilmu rumah tangga
Keluarga Islam, pastikan sekurang-kurangnya dua waktu sembahyang berjemaah bersama-sama ahli keluarga demi merapatkan hubungan dan kemesraan. “Menuntut ilmu hingga ke liang lahad.” Perumpamaan yang sangat relevan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga.
Setiap hari, pastinya ada perkara baru yang dilalui maka setiap pasangan perlu cuba untuk mendalami ilmu perkahwinan. Belajar dari pengalaman orang lain serta mengambil iktibar dari kisah yang hampir setiap hari ada saja kisah baik buruknya yang boleh diambil pengajaran.
16. Berdoa dan banyakkan bersyukur dalam rumah tangga
Jangan beri ahli keluarga makanan yang tidak halal atau diragui kehalalannya kerana bermula dari makanan membentuk air mani dan melahirkan generasi seterusnya. Tidak kira berapa banyak dugaan juga kebahagiaan yang dikecapi, banyakkan berdoa dan bersyukur dengan anugerah jodoh dan ikatan perkahwinan yang telah ditentukan Tuhan. Janganlah berkeluh kesah dengan setiap sesuatu yang telah ditakdirkan, sebaliknya terimalah dengan berlapang dada. Setiap dari individu pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina dibawa hingga ke syurga.
Pahit manis dalam perkahwinan adalah roda dalam kehidupan. Anak-anak yang dibesarkan, sampai pada satu peringkat umur, akan melalui kehidupan berumah tangga juga. Dan membina satu lagi ‘kerajaan kecil’ yang mencorakkan generasi seterusnya. Bersediakah setiap seorang dari kita untuk menggalas segala tangggungjawab, serta dugaan yang mendatang?
Semoga setiap rumah tangga yang dibina atas fitrah yang Allah ciptakan kepada setiap seorang insan, membawa kepada satu rahmat yang mendorong jalan menuju syurga yang abadi. Okay, cukup perkongsian setakat ini saja. Semoga bermanfaat! Mulakan rumah tangga yang bahagia dengan mencuba tips ini sebagaimana yang telah dikongsikan dan lihat kesan positifnya nanti.