Posted on Leave a comment

BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG -APA AKAN TERJADI?

Bercinta suami orang-Dari Pening Kepala Fikirkan Perbuatan Mereka, Maafkan Sahaja Pasangan Anda  Yang Curang - Pesona Pengantin
KreditFoto:PesonaPengantin

Bila bercinta dengan suami orang, tidak dinafikan ada yang kata kalau perempuan tidak melayan. Pasti si suami orang itu akan berputus asa dan perkara ini takkan terjadi. Pasti ramai yang tahu sekeras mana pun hati perempuan, mereka sangat mudah dipujuk. Dengan sedikit kata-kata manis pasti akan percaya dengan janji-janjinya.

Dan akhirnya perempuan juga yang dipersalahkan. Antara punca penceraian terjadi lazimnya adalah disebabkan ‘orang ketiga’ yang hadir dalam hubungan suami isteri itu. Bermulanya perkenalan sekadar ‘cuma kawan’ sahaja siapa sangka akhirnya bertukar menjadi sebagai ‘teman’ di alam perkahwinan. Tidakkah kita terfikir tentang apa yang akan terjadi jika bercinta dengan suami orang? Tentunya banyak perkara yang buruk atau negatif sahaja berbanding yang baik.

1. Masa Bersama Si Dia Terbatas

Bayangkan sahaja, sewaktu sedang makan bersama di restoran tiba-tiba isteri si dia menelefon minta balik segera. Mahu tak mahu terpaksalah akur kerana kamu yang telah mencuri masanya bersama keluarga. Kerana sepatutnya waktu macam ini dia meluangkan masanya dengan isterinya bukan dengan kamu.

Bukan setakat itu sahaja, bila kamu keluar membeli-belah, menonton wayang dan sebagainya, kamu akan sering ditinggalkan saat akhir. Kerana sebagai suami orang tanggungjawabnya lebih berbanding dengan yang berstatus bujang.

2. Hubungan Perlu Dirahsiakan Jika Bercinta Dengan Suami Orang

Bagi wanita adalah perkara biasa apabila bercerita mengenai pasangan masing masing. Tapi bagaimana pula dengan kamu? Terpaksa merahsiakan hubungan dengan si dia bagi mengelakkan si isteri mengetahuinya. Memang tiada lagi perhubungan cinta yang indah kerana semuanya perlu dirahsiakan.

Pasti kamu akan bosan dan mungkin tertekan dengan keadaan sebegitu.Tidak boleh berjalan berdua-duaan dengan bebas dan bangga. Malah perlu lebih berhati-hati ketika keluar kerana kamu akan sentiasa diselubungi oleh perasaan takut dan bimbang.

Takut orang lain terlihat kamu berdua-duaan lalu mengadu kepada isteri si dia. Sekarang ini mungkin kamu sanggup, tapi pasti sampai satu saat kamu juga akan bersedih bersendirian. Sebab dia takkan ada bersama kamu selalu. Kerana dia ada komitmen pada isterinya, bukan pada kamu.

3. Sering Memberi Arahan

Jika bercinta dengan suami orang, si dia juga akan sering memberi arahan untuk mengelakkan diri dari dikesan oleh isterinya. Sebagai contoh, kamu hanya boleh menghubunginya selepas jam 12 tengah malam apabila isteri dan anak-anaknya sudah masuk tidur. Kamu juga dilarang untuk berteman rapat dengan teman-temannya. Bimbang rahsia yang tersimpan akan diketahui umum nanti.

4. Hidup Serba Tak Kena

Selepas ditinggalkan kerana tidak mampu untuk memujuk isterinya, kamu akan sedar bertahun-tahun yang kamu lalui adalah perkara sia-sia. Kamu tunggu bertahun-tahun untuk ditunaikan janjinya, tapi bila tiba masanya tiada janji yang ditunaikan. Jika pun dia memilih kamu berbanding isterinya, sanggupkah kamu melalui hidup selepas ‘menghancurkan’ rumah tangga orang lain?

Saat itu kamu akan menyesal dan kehidupan akan rasa serba tak kena. Hidup kamu juga tak selamat kerana dihantui rasa bersalah. Hati kamu akan sering merasa tidak tenteram. Semakin diteruskan perhubungan itu,maka semakin bersalah kamu rasa. Kamu cintakan dia tetapi bagaimana dengan perasaan isterinya? Kamu akan tersepit dalam situasi yang sangat sukar.

5. Bercinta Dengan Suami Orang Akan Sering Makan Hati

Parah, terluka dan pasti kecewa. Ini adalah ayat yang biasa digunakan apabila hubungan kamu dengan suami orang berada di hujung tanduk. Kenapa boleh jadi begini? Mungkin sebab si isteri dah tahu kecurangan suami.

Si isteri merasa diri dia ditipu dan mengugut untuk meninggalkan dia dan lari bersama anak-anak. Tetapi suami tiada pilihan kerana mereka punya anak bersama. Mereka punya komitmen yang lebih daripada sekadar ‘perasaan cinta’. Masa itulah kamu akan sedar dimana letaknya diri kamu. Bila diminta penjelasan dari pihaknya, mungkin dia akan mendiamkan diri dan berhenti menghubungi kamu. Kamu akan asyik makan hati dalam hubungan jika bercinta dengan suami orang.

6. Suami Orang Perlukan Komitmen Yang Tinggi

Pasti saban masa dia akan melahirkan rasa bahagianya berada di sisi kamu. Ini mungkin kelihatan seperti komitmen terhadap masa depan kamu. Tapi, percayalah itu hanyalah kata-kata manis sekadar untuk mendapatkan perhatian kamu saja! Cuba ajak dia berbicara pasal kahwin.

Sekiranya dia serius dia takkan berdolak dalih dan tidak akan beralasan “bukan masa yang sesuai” atau menangguh-nangguh. Hakikatnya, kita perlu benar-benar memahami realiti dan tanggungjawab apabila seseorang suami mempunyai 2 orang isteri. Kecukupan yang perlu diberikan bukan sekadar pada kewangan, tetapi juga masa dan kasih sayang. Ramai yang terkandas apabila cemburu dan tidak mampu untuk memberi komitmen dalam hal ini dek terpaksa ‘berkongsi’.

7. Dipandang Negatif 

Nak bercinta dengan suami orang, hati mesti kena kental. Kalau tidak, lebih baik lupakan sahaja niat itu. Mana tidaknya, kamu akan sentiasa menghadapi bermacam-macam makian atau sentiasa dipandang serong oleh masyarakat. Kamu rasa boleh aman ke hidup kalau mana-mana kamu pergi orang akan sentiasa bercakap buruk tentang diri kamu. Dicop perampas itu sudah semestinya.

Sebenarnya, tidak ada siapapun yang boleh hidup aman bahagia kalau 24 jam orang asyik bercakap tentang soal keburukan kita. Ini belum campur lagi dengan orang-orang yang mendoakan perkara yang tidak baik jadi pada kita. Dek kerana kita bercinta dengan suami orang.

Jadi, sebelum kamu nak ada affair dengan suami orang. Fikir dulu masak-masak sama ada sanggup atau tidak kamu nak lalui hidup yang penuh dengan cacian ini. Memanglah lama-lama orang akan diam tetapi orang tetap tidak akan lupa siapa kamu sebenarnya sampai bila-bila. Kecuali jika kamu dah berubah.

8. Si Dia Tak Serius,Hanya Nak Test Market Saja

Bukan semua yang menyentuh hati kamu itu, yang membuatkan kamu jatuh cinta dengannya ada nawaitu ingin menghalalkan kamu. Ada yang saja-saja test market. Sekadar suka-suka, main-main, dan dia tak akan mahu untuk ke peringkat seterusnya. Sebab dia tiada keinginan pun untuk ke peringkat itu.

Hubungan itu sekadar mengisi masa lapang, memenuhkan masa terbuangnya sahaja. Dia akan mengelak daripada membicarakan soal serius atau tidak, ingin berkahwin atau tidak dan sebagainya. Dia akan berjanji sahaja sepanjang masa tetapi dia langsung tidak mengotakan apa yang dijanjinya.

Lebih teruk lagi, bila dia sudah dapat “habuan”, dia pergi dan memutuskan hubungan begitu sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Dia yang untung dan dia tidak rugi apa-apa dalam hubungan yang macam ini.

9. Terlibat Dalam Penipuan

Disaat kamu mula membalas mesej dengan suami orang itu maka bermulanya saat penipuan suami terhadap isterinya. Apabila ia semakin berterusan dan hubungan kamu semakin serius, berterusan jugalah dia akan menipu isterinya.

Dia sudah menipu isteri dia berkali kali, bila tiba giliran kita agak-agak macam mana pula? Ingat, si dia mungkin akan mengulangi sikap menipu ini terhadap kamu apabila kamu berdua menghadapi masalah dalam perhubungan kamu kelak.

10.Melihat Kaum Sejenis Terluka

Lagi satu sebab kita perlu mengelak bercinta dengan suami orang adalah kerana kita wanita. Tegarkah kita nak lukakan hati kaum sejenis kita? Sedangkan, dulu isterinya juga mempunyai cita-cita dan impian seperti kita untuk membina keluarga bahagia. Sedangkan kita pula yang menyumbang kepada keruntuhan rumah tangganya. Saya pasti kita sebagai perempuan lebih memahami perasaan sesama kita.

Suami jarang dapat menelah dan ada pula yang berlagak seperti dia tahu luar dalam isterinya. Malah, ada yang sanggup memburukkan isteri masing-masing demi bersama orang ‘baru’. Sepatutnya,  sebagai wanita kitalah yang sepatutnya belajar untuk memahami kekurangan atau kesengsaraan isterinya. Lihat Master Secure.

11. Tak Semuanya Mampu

Kita bukan nak menidakkan perkara yang halal dan boleh untuk orang lelaki buat. Tapi syarat utama yang membolehkan dia untuk buat pilihan itu ialah mampu. Mampu ni boleh dikatakan ramai lelaki yang bergelar suami pada hari ini, “tidak mampu”. Kalau dia betul-betul mampu, maka isteri dia tak membantu langsung bab kewangan.

From A to Z dia sediakan. Semua hutang dia bayarkan siap ada pakej duit belanja yang fixed lagi setiap bulan untuk isteri dia. Kalau bulanan pun, isteri bayar hutang, isteri topup perbelanjaan, keluar makan isteri bayar, minyak kereta isteri penuhkan. Maka dimana “kemampuan” dia untuk beristeri lebih dari satu?

Kalau dia teruskan juga niat dan perbuatan itu, maka penganiayaan akan berlaku disebabkan dia “tidak mampu”. Duit yang sepatutnya digunakan untuk menanggung keluarga digunakan untuk menghabiskan masa dengan kamu. Ini akan menyebabkan suami lari dari tanggungjawab yang sepatutnya dia tunaikan.

KreditFoto:SirapLimau

Ini antara sebab wanita perlu mengelak bercinta dengan suami orang. Walaupun seorang lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri, namun ramai yang hanya merasai kepahitannya setelah menempuh hidup berumah tangga. Ia seolah-olah jerat percintaan yang akan memakan diri. Fikir balik hubungan kamu dengan suami orang itu. Hakikatnya, jika kamu benar-benar ikhlas, cukuplah sekadar ‘bertaaruf’ (kenal-mengenal) sebelum berkahwin.

Bukan bercinta kerana perkataan ‘cinta’ itu sendiri membawa maksud memadu kasih, berbual-bual, bertemu untuk saling mencurah perasaan. Sama ada di alam maya atau alam nyata. Tidak dinafikan ada suami yang mampu, jujur, dan sangat bertanggungjawab hingga mampu membahagiakan semua isterinya. Tapi, pastinya ini semua adalah hubungan yang berteraskan kejujuran dan kepercayaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *