Dalam Islam, tanggungjawab suami adalah perintah dari Allah yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin. Pada tanggung jawab-tanggung jawab inilah, terletaknya hak seorang isteri dalam sesebuah perkahwinan. Dalam memikul dan melaksanakannya, para suami hendaklah memainkan pelbagai peranan. Sebagai ketua keluarga, mereka hendaklah menjadi pencari nafkah, pelindung, pemimpin, dan pendidik untuk isteri dan anak-anak. Antara tugas suami menurut Islam adalah seperti berikut.
Memberi Nafkah Bulanan
Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri, iaitu untuk memberikan makanan dan pakaian yang mencukupi serta menyediakan tempat tinggal yang sesuai. Kewajipan ini berasaskan beberapa dalil Al-Quran dan sunah.
Firman Allah bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Surah Al-Nisa’ ayat 34.
Menyediakan Tempat Tinggal Dan Keperluan Isteri
Nafkah tempat tinggal merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Hal ini merupakan ijma’ fuqaha atau sepakat para ulama fiqh. Selain itu, suami wajib menyediakan kediaman khusus untuk isterinya yang mana tiada keluarga yang lain di rumah tersebut.
Oleh itu, sekiranya suami menyediakan tempat tinggal satu rumah dengan ibu bapanya maka isteri dibolehkan untuk tidak menetap bersama suami. Ini kerana, nafkah tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi diri dan hartanya. Namun di sana mesti dilihat bahawa nafkah yang diberi perlu diukur mengikut kemampuan suami, dan suami wajib berusaha bagi memenuhi nafkah tempat tinggal ini.
Menggauli Isteri Dengan Baik
Hubungan intim antara suami dan isteri adalah perkara yang normal dalam sesebuah perkahwinan. Namun, ia haruslah dilakukan secara persetujuan bersama-sama dalam keadaan harmoni.
Islam menuntut supaya isteri untuk mematuhi setiap kemahuan suami termasuklah memenuhi kehendak nafkah batin pasangan. Begitu pun, ramai yang terlepas pandang akan hak isteri yang sering dinafikan dalam perkahwinan.
Mendidik Isteri
Suami sebagai pemimpin rumah tangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita.
Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Menyantun Dan Menghormati Isteri
Tanggungjawab suami yang seterusnya adalah menyantun dan menghormati isteri sebaiknya. Dalam apa jua situasi, cubalah untuk memberikan layanan yang terbaik kepada isteri.Dalam menjalani kehidupan berumah tangga, sudah tentu ada liku-likunya. Ketika menghadapinya, para suami hendaklah melayani isteri dengan sopan santun dan penuh hormat. Janganlah kerana kedudukan anda sebagai suami, anda merasakan diri lebih mulia dan mereka tidak layak mendapat penghormatan yang sama.
Suami isteri seharusnya berdiri seiring dengan saling mendampingi dan menyokong satu sama lain. Apabila terjadi persengketaan, janganlah sesekali mengasari tubuh badan isteri dan keluarkan kata-kata yang kasar padanya. Sebagai pembimbing, cubalah untuk berbincang secara elok dengannya. Hormatilah dia dengan mengelak dari menyentuh sensitivitinya.
Menggembirakan Hati Dan Menjaga Perasaan Isteri
Jangan abaikan perasaan pasangan anda walaupun pada perkara remeh. Bantu dia lakukan kerja di rumah dan beri waktu rehat tanpa anak seketika sekiranya dia adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan jika si isteri bekerja, bahagikan tugas di rumah sebaik mungkin.
Menjaga Maruah Dan Aib Isteri
Dalam hubungan suami isteri, antara perkara dilarang adalah mendedahkan aib pasangan masing-masing kepada orang yang tidak berhak mengetahuinya. Ia boleh jadi percakapan di tempat kerja, luahan di media sosial atau mengadukan kepada pihak ketiga yang tidak sepatutnya. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pastinya ada ranjau dan kekurangan yang melengkapi antara satu sama lain. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187).
Ayat itu mengisyaratkan, suami atau isteri adalah pakaian yang sepatutnya dijaga dengan cermat dan menutupi hal peribadi agar tidak diketahui orang lain.Jika seorang suami atau isteri mudah mendedahkan aib pasangannya, tanpa sedar mereka membiarkan diri seolah-olah tanpa berpakaian. Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan.
Berpandukan sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Sa’id al-Khudriy r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling jelik kedudukannya pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”
Apabila para suami memikul dan melaksanakan tanggung jawab dengan sebaiknya, rumah tangga akan dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmat dari Allah. Laksanakanlah tugas suami menurut Islam dengan ikhlas. Semoga hubungan yang dibina berkekalan selamanya.
Diuji Dengan Suami Curang Pendengar Yang Baik Jadilah Suami Yang Mahal Kuatnya Seorang Isteri Bagai Bercinta Semula Isteri Boleh Hilang Hormat Pada Suami yang Seperti Ini